Bandar Baru Bangi, 21 September 2007.      Kemaskini: 01 Nov 2009.

 

Pertamanya ingin saya menyampaikan ucapan tahniah kepada rakan-rakan kita yang telah dinaikkan pangkat sebagai Pengarah dan Ketua Pengarah di beberapa jabatan di bawah Kementerian Sumber Manusia. Syabas dan teruslah berbakti memertabatkan diri dan jabatan di mana anda bertugas sebagaimana yang pernah menjadi visi dan misi kita bersama di suatu masa yang lalu.

Salah satu tugas yang diutamakan ketika itu ialah Latihan dan Pendidikan. Demi untuk memertabatkan diri dan jabatan kita telah bermati-matian melatihkan diri kita tidak kurang dari tiga kali setahun yang diadakan bertahun-tahun di beberapa tempat seperti di Port Dickson, Cameron Highlands, Fraser's Hill, Cherating, Pahang dan teristimewanya di kaki Gunung Ledang (namanya diabadikan sebagai judul laman web ini iaitu - Laman Gunung Ledang). Pengalaman ini telah menjadi kenangan manis bagi saya secara peribadi sebagai usaha gigih kita dalam membudayakan ilmu sepanjang hayat demi memertabatkan diri dan jabatan.

Masih segar di ingatan saya betapa komitednya kita yang berbakti sebagai satu pasukan (team) ketika itu dalam melatihkan diri kita dengan berbagai-bagai cara dan kaedah semata-mata untuk menjadikan diri kita sebagai pegawai yang berkesan (dalam bahasa sekarang cemerlang, gemilang dan terbilang)

Adalah menjadi prisip diri saya membudayakan belajar sepanjang hayat dan memertabatkan diri kita selagi hayat dikandung badan. Atas kesedaran inilah laman ini disediakan sebagai jambatan yang menyambungkan silaturrahim antara kita sebagai insan yang bersatu berbakti kepada diri, keluarga dan masyarakat walau di mana jua kita berada dan dalam apa jua pekerjaan dan jawatan yang kita sandang sekarang.

 

PEGAWAI YANG BERKESAN

Anda tentu masih ingat dan tersenyum apabila saya sebut tiga tonggak ciri pegawai yang berkesan yang pertama sekali disarankan semasa membentuk satu pasukan (team) petugas di jabatan kita dahulu. Di setiap kursus yang diadakan saya tidak lupa menyebutnya sebagai elemen menambah nilai modal insan. Saya sedar saya seorang yang esentrik kerana selepas bersara pun, semasa berkunjung ke Johor Bahru dan bertemu seorang  pegawai yang pernah berkhidmat bersama saya, secara spontan saya masih lagi bertanyakan kepadanya sifat pegawai yang berkesan yang sudahpun menjadi darah dagingnya. Saya lupa saya bukan lagi ketuanya dan dia tidak perlu respons kepada saya.

Kita tidak boleh lari dari sifat ego termasuklah si penulis ini. Kita merasakan diri kitalah yang baik kalau tidak yang terbaik walaupun diri kita kurang ilmu dan pengalaman dalam mengurus atau menjalankan sesuatu tugas. Bagi saya ada tiga kelas pegawai iaitu pegawai kelas satu, pegawai kelas dua dan pegawai kelas tiga tanpa menggira jawatan yang mereka sandang sama ada mereka petugas biasa atau ketua pengarah sekalipun. Pegawai kelas satu dapat menjayakan tugas yang diamanahkan dengan cemerlang tanpa sebarang kerenah, walaupun mereka mungkin hanya seorang pelayan pejabat atau pegawai biasa. Manakala pegawai kelas tiga pula tidak semestinya pegawai bawahan tetapi adalah mereka yang gagal menjalankan tugas dan telah menimbulkan berbagai-bagai kerenah, dolak dan dalehnya serta menyalahkan faktor luaran selain daripada dirinya sendiri. Yang  bermasalah sebenarnya ialah diri mereka sendiri yang menimbulkan berbagai-bagai masalah pula kepada orang lain sedangkan mereka mungkin ketua jabatan itu sendiri yang mana saya takrifkan mereka sebagai pegawai kelas tiga. Selainnya adalah pegawai kelas dua yang mana sifat mereka tidak menentu dengan nilai yang bercampur aduk antara positif dan negatif yang memerlukan pengurusan dan kepimpinan untuk mejayakan sesuatu aktivi.

Anda tentu masih ingat tiga tonggak prisip pegawai yang berkesan:

  1. Mengenalpasti masalah dan mengadakan penyelesaiannya (solution)

  2. Daya komunikasi yang berkesan

  3. Belajar sendiri
     

Mengenalpasti Masalah Dan Mengadakan Penyelesaiannya (Solution):

Ramai manusia yang boleh mengenalpasti masalah apalagi yang bijak mengkritik dan mencari kesalahan dan kelemahan sesuatu aktiviti atau orang lain. Mereka bukan sahaja bijak mengkritik tetapi megah dengan kebijaksanaan mereka yang negatif itu.

Ramai di antara kita berperangai 'rumah sudah pahat berbunyi'. Ramai di kalangan kita yang menunjuk-nunjukkan bijak bistari tetapi sebenarnya kita menunjukkan kebodohan dan kebebalan diri kita sendiri kerana kita hanya tahu mengenalpasti masalah tetapi kita tidak tahu apa solution kepada masalah-masalah itu. Kita tidak ubah seperti doktor yang boleh mengenalpasti penyakit tetapi tidak tahu apa ubatnya terhadap penyakit itu maka dia bukanlah seorang doktor dalam erti kata yang sebenarnya.

Samalah juga dengan sifat pegawai yang berkesan, hanya yang mampu mengenalpasti masalah dan yang mempunyai penawar atau solution yang mujarab kepada masalah-masalah itu sahaja yang saya gelar pegawai kelas satu yang bernilai yang mampu memartabat sesebuah jabatan atau organisasi. Manakala yang hanya pandai mengkritik, menyalahkan orang lain atas kesilapan diri sendiri tanpa ada sebarang solution kepada masalah yang dikenalpasti itu adalah pegawai kelas tiga walaupun pada zahirnya mereka pegawai tinggi atau ketua jabatan.
 

Berdaya Komunikasi Yg Berkesan:

Semua manusia boleh bercakap melainkan yang bisu tetapi tidak bermakna mereka boleh berkomunikasi dengan berkesan. Kita rasa kita mampu berkomunikasi kerana kita tahu bercakap malahan kita amat bijak bercakap. Yang bijak bercakap itu tidak semestinya boleh berkomunikasi dengan berkesan. Orang bisu tidak boleh bercakap tetapi mereka boleh berkomunikasi dengan cara dan isyarat mereka sendiri. Begitu juga dengan bayi dan kanak-kanak, mereka tidak tahu berbahasa tinggi seperti kita yang berijazah tetapi mereka boleh memahami komunikasi cara mereka.

Komunikasi yang berkesan ialah kebolehan menyampaikan sesuatu mesej dengan jelas dan boleh pula difahami oleh yang menerimannya dan mematuhi mesej itu sebagaimana yang dimaksudkan.Cara penyampaian dan kemampuan serta kesediaan orang yang menerima mesej itu adalah faktor penting dalam kekesanan sesuatu komunikasi itu.
 

Belajar Sendiri

Kebanyakan daripada kita berhenti belajar apabila mendapat segulung sijil atau ijazah. Zaman dan teknologi berubah tetapi ilmu kita tetap di takuk lama kerana belajar tidak menjadi budaya kita. Oleh itu untuk menjadi pegawai yang berkesan kita hendaklah sentiasa belajar dan menambahkan ilmu pengetahuan kita sejajar dengan keperluan semasa.

Begitu juga dengan ilmu pengetahuan agama yang ada pada kita adalah sesuatu yang kita belajar berpuluh tahun dahulul semasa kita kanak-kanak. Apabila habis belajar mukadam dan mengaji quran kita tidak pernah mengkaji apa yang kita mengaji dahulu. Bagaimanapun yang pelik dan anehnya kita megah dengan ilmu agama kita dan merasakan dirilah kitalah orang yang paling alim dan memandang rendah kepada orang lain walhal keadaan diri kita adalah sebaliknya. Saya tidak mengata kepada sesiapa tetapi kepada diri saya sendiri.

Kita hendaklah belajar dan mengajar diri kita sendiri terlebih dahulu sebelum kita mengajar orang lain.dan janganlah sampai orang lain atau keadaan pula yang mengajar kita. Kata orang tua-tua belajarlah sampai ke liang lahat dan belajarlah waima sampai ke Negeri China sekalipun.
 



Mengiktiraf Tiga Kuasa Yang Ada Pada Manusia

Dalam mengendalikan hubungan yang berkesan sesama manusia sama ada yang lebih tinggi kedudukan daripada kita, atau yang setaraf mahupun yang bawah daripada kita maka adalah penting bagi kita mengenal dan mengiktiraf tiga kuasa yang ada pada manusia.

Jawapan kepada persoalan ini saya berikan semula kepada seorang pegawai yang bertanyakan saya selepas saya bersara daripada jawatan Ketuan Pengarah, bagaimanakah perasaan saya apabila kehilangan kuasa? Soalan itu ditujukan kena pada masanya kerana saya bukan sahaja baru kehilangan kuasa kedudukan tetapi juga kehilangan kesihatan dan menjalani penbedahan di IJN.

Saya ingatkan pegawai tersebut kepada TIGA KUASA yang ada pada manusia yang perlu dikenal dan diiktiraf sebagaimana yang kerapkali saya sebutkan dalam ucapan dan pesanan saya semasa berkhidmat dahulu tentang tiga kuasa seperti berikut:-

  1. 1.    Kuasa Kedudukan (Position Power)

  2. 2.    Kuasa Peribadi (Person Power)

  3. 3.    Kuasa Teknik (Technic Power)
     

1.    Kuasa Kedudukan (Position Power)

Kita hendaklah mengiktiraf kedudukan kuasa seseorang itu walaupun kita tidak berkenan melihat mukanya sekalipun. Sekiranya dia seorang Pengarah Urusan maka kita hendaklah menghurmati jawatannya yang setaraf dengan kuasa yang dinikmatinya. Sekiranya dia seorang Ketua Pengarah maka kita hendaklah mengiktirah kedudukan dan kuasa yang ada padanya. Kita tidak seharusnya angkuh dan mencabar kedudukan dan kuasa yang ada padanya melainkan kita sengaja hendak menempah padah.
 

2.    Kuasa Peribadi (Person Power)

Kuasa peribadi ialah kuasa personaliti yang berpengaruh dan berkerismatik yang boleh mempengaruhi orang yang berkuasa mendengar kata-katanya walaupun dia tidak berkuasa. Perwatakan dan cara dia mengendalikan hubungan begitu yakin dan memberi ketenangan kepada orang lain.

Seseorang itu mungkin bukan seorang ketua yang berkuasa tetapi kerana perwatakannya yang berkerismatik orang lain mendengar kata-katanya lebih daripada ketua atau seorang pegawai.

Contohnya secara rasmi seorang Timbalan Ketua Pengarah itulah yang lebih berkuasa daripada seorang pembantu peribadi tetapi ada keadaan yang  terdapat pembantu peribadi itu lebih berpengaruh daripada Timbalan Ketua Pengarah kerana Ketua Pengarah lebih percaya kepada pembantu peribadi daripada timbalannya sendiri.

Begitu juga sebagai contoh dalam sesebuah organisasi itu secara rasminya sesorang isteri CEO itu tiada kedudukan dalam organisasi tetapi ada kes terdapat si isteri begitu berpengaruh sehingga CEO terpaksa membuat keputusan sebagaimana nasihat isterinya.

Kita hanya kenal dan iktiraf kuasa yang ada secara formal tetapi kita lupa kepada kuasa pengaruh peribadi yang banyak memainkan peranan secara tidak formal dalam membuat keputusan yang formal.
 

3.    Kuasa Teknik (Technic Power)

Kuasa teknik ialah kuasa yan terbit daripada keluasan ilmu pengetahuan dan pengalaman seseorang sehingga boleh mengadakan berbagai-bagai solution terhadap masalah-masalah tertentu. Walaupun dia tiada kuasa kedudukan atau kuasa pengaruh tetapi kuasa kepakarannya yang boleh mencetuskan berbagai teknik dan strategi dalam menjayakan sesuatu aktivi itu menyebabkan diri mereka disegani dan dihurmati.

Berbalik kepada peristiwa pegawai yang bertanya saya itu secara terhurmat saya katakan bahawa apabila seseorang itu bersara sudah tentulah mereka kehilangan kuasa kedudukan selaku Ketua Pengarah atau sebagainya tetapi saya tidak kehilangan segala-galanya kerana saya masih ada kuasa peribadi dan kuasa teknik yang ditambah nilai menjadi modal insan yang relevan kepada masalah hari ini yang tidak seharusnya diperlekehkan.

Saya membicarakan isu hubungan manusia/pekerja dengan pegawai berkenaan bukanlah atas dasar selaku bekas Ketua Pengarah yang kehilangan kuasa tetapi sebagai seorang Doktor Falsafah yang khusus dalam bidang perhubungan perusahaan yang mencadangkan solution kepada beberapa masalah hubungan manusia/pekerja yang wujud pada hari ini yang memerlukan penyelesaian yang sewajarnya.

 

Dr. Ghaz

 

 

   


Copyright 2005-2009 by Dr. Ghazali AG
All Rights Reserved.